Khamis, 18 Disember 2014

Ingat masa senang, manfaatkan masa lapang


Tulisan: Tuan Guru Ustaz Mashadi Masyuti
Sedikit bacaan petang yang berkat ini buat diri hamba yang penuh dengan kesilapan dan kelemahan, semoga Allah memudahkan segala kebaikan buat hamba dan muslimin sekelian.
بسم الله الرحمن الرحيم
الحديث الأربعون
عن ابن عمر رضي الله عنهما قال: أخذ رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم بمنكبي فقال: ((كن في الدنيا كأنك غريب أو عابر سبيل ; وكان ابن عمر رضي الله تعالى عنهما يقول : إذا أمسيت فلا تنتظر الصباح، وإذا أصبحت فلا تنتظر المساء، وخذ من صحتك لمرضك، ومن حياتك لموتك)) رواه البخاري

Daripada Ibnu Umar RA: Beliau telah berkata: Rasulullah SAW telah memegang bahuku, lalu baginda bersabda: "Jadikan dirimu di dunia ini seolah-olah engkau orang asing atau dalam permusafiran."
Ibnu Umar RA berkata (mentafsirkan hadith ini): "Apabila engkau berada pada waktu petang, Jangan kaunantikan waktu pagi, dan apabila engkau berada pada waktu pagi, janganlah engkau nantikan waktu petang. Ambillah waktu sihatmu sebagai persediaan waktu sakitmu dan waktu hidupmu persedian bagi waktu matimu."
Hadis diriwayatkan oleh Imam Al Bukhari RAH.


SYARAH HADIS

Lafaz  غريب (orang asing) iaitu: Engkau tak dapati orang yang engkau boleh bermesra dengannya dan tiada yang engkau perlukan melainkan keluar daripada keasingan tersebut kepada negerimu.
Lafaz عابر سبيل (orang dalam permusafiran) iaitu: Orang yang dalam perjalanan dan sedang menuju ke tempat kediamannya.
Lafaz  أو (atau) bermakna: Bahkan.
Lafaz فلا تنتظر الصباح، (Jangan nantikan pagi) yakni dengan amalan malam.
Lafaz فلا تنتظر المساء (maka jangan nantikan petang) iaitu: Setiap pagi dan petang ada amalan tertentu yang diamalkan pada keduanya, yang kalau dilewatkan maka tiada diperoleh sebelah pagi dengan amalan yang ditentukan, dan sebelah petang dengan amalan yang ditentukan pada pagi hari.
Dan lafaz خذ من صحتك  (ambillah waktu sihat) iaitu: Berlumba-lumbalah mengambil keuntungan amalan semasa sihatmu kerana terkadang datang waktu sakit yang menegahmu dari beramal, maka jikalau demikian, kembalilah kamu kepada Tuhanmu dengan tangan yang kosong.
Dan lafaz ومن حياتك لموتك (hidupmu bagi matimu): Beramallah pada waktu hidupmu bagi perkara-perkara yang tercapai manfaatnya selepas kamu mati kerana selepas mati, akan terputuslah amalanmu.

Pengajaran daripada hadith

-Antara teknik mengajar dan mendidik, guru memegang anak murid semasa pengajaran dengan tujuan menjinakkan hati dan menjaga.
-Boleh memulakan dalam memberi nasihat kepada orang, sekalipun orang tersebut tidak memintanya.
-Bercakap dengan ditujukan kepada seseorang, tetapi tujuannya umum untuk orang ramai, yakni hadith tersebut bukan ditentukan untuk Ibn Umar sahaja, bahkan untuk sekalian umat.
-Bersungguh-sungguh dengan sifat zuhud dan mengambil bahagian dari dunia sekadar memenuhi tuntutan agama sahaja.
-Memberi amaran dan peringatan tentang perkara sia-sia, kerana pengembara sikit sahaja kenalannya, maka sikitlah juga sifat mazmumahnya seperti sikap berhasad dengki, bermusuhan dan lain-lain. Pengembara juga sikit pembangunannya seumpama rumah, kebun dan lain-lain, yang mengganggu hubungannya dengan Allah. 
-Kurangkan angan-angan dan banyakkan persediaan bagi kematian.
-Menyegerakan amal soleh sebelum kita tidak mampu lagi melakukannya.
Wallahuaalam.

Tulisan asal oleh Tuan Guru Mashadi Masyuti:

Disunting oleh Akhukum Khuwaidimul Ilmi Azraei.

Unknown

Biro Multimedia BADAR SAM Bestari

0 comments:

Catat Ulasan

 

Copyright @ 2014 BADAR SAM Bestari.