Selasa, 12 Februari 2013

Dakwah Bukan Hobi

Bismillahirrahmanirrahim, assalamu'alaikum kepada semua pembaca sekalian. Alhamdulillah segala puji bagi Allah kerana masih memberi kesempatan untuk admin menulis sebuah tinta dakwah walaupun jarum jam sudah melebihi 12 malam. Kali ini admin ingin membawakan sebuah perbualan yang pernah terjadi kepada diri admin sendiri namun admin mengolahnya semula supaya lebih sedap dan sesuai dibaca. Ikuti perbualan berikut:

Adik : Kak, dakwah tu wajib ke?

Kakak : Ye dik. Dakwah tu wajib bagi semua umat Islam. Seperti hadis Nabi SAW "Sampaikanlah dakwah walau satu ayat". Adik seronok tak jadi umat Islam?

Adik : Mestilah seronok kak. Saya seronok sangat dapat berpuasa di bulan Ramadhan, beraya di bulan Aidilfitri, seronok dengar nasyid, fesyen busana muslimah pun cantik-cantik malah orang-orang Islam banyak yang baik hati. Hehe.

Kakak : Kalau mahu seronok, kenalah berkorban untuk Islam,dik.  Komited dalam pengorbanan. Tak bolehlah seronok untuk dapatkan kepuasan nafsu kita sahaja, tapi dakwah ala kadar. Macam sikap orang Melayu "senang aku buat, susah aku tinggalkan". Menyembah Allah janganlah hanya di tepi.

"Dan di antara manusia ada yang menyembah Allah hanya di tepi, maka jika dia memperoleh kebaikan (kesenangan dunia) dia merasa puas, dan jika dia ditimpa suatu cubaan (musibah) dia berbalik ke belakang (murtad). Dia rugi di dunia dan di akhirat. Itulah kerugian yang nyata."  - Surah Al-Hajj (Ayat 11)

Adik : Tapi kan kak, kite kan 'busy'. Macam-macam benda nak kena buat.

Kakak : Emm...kita kena bezakan ikut keutamaanlah,dik. Mana satu yang lebih utama?

Adik : Antara 'study' dengan dakwah ke? Hari tu, adik ada dengar satu pengisian, study no.1 tapi dakwah bukan no.2. Kak, boleh tak kita buat kerja dakwah bila 'free' je?

Kakak : Haa..cuba adik fikirkan dakwah ni amanah, tanggungjawab, minat atau hobi?

Adik : Tentulah amanah kak. Tanggungjawab bagi setiap muslim yang telah mengucap syahadah.

Kakak : Tanggungjawab bukanlah penghalang untuk meminati sesuatu mahu pun mengembang minat. Minat seharusnya ditambah seiring dengan hobi. Walaupun hobi itu jarang sekali dilaksanakan.Dakwah juga bukanlah penghalang untuk teruskan hobi yang sudah sebati dalam diri kita. Hobi dan minat mungkin sebenarnya satu wasilah untuk dakwah. Apa hobi adik ye?

Adik : Err...adik suka menulis blog,kadang-kadang suka edit video. Tapi suka-suka je kak.

Kakak : Baguslah begitu. Tak salah bukan kalau kita gunakan hobi untuk berdakwah pula. Lagipun kita sedang berada dalam generasi Y dan Z, iaitu generasi celik internet. Jadi, dakwah kita pun kenalah lebih inovatif dan kreatif.

Adik : Owhhh....baru saya faham kak. Minat saya sebenarnya ada tiga. Tiga bidang yang cukup berbeza dalam tiga dunia yang berbeza. Perubatan, agama dan sains komputer. Antara logik, wahyu dan kreatif. Sebenarnya, agak sukar sekali nak menemukan tiga dunia ini. Tapi alhamdulillah bagi saya, ia satu kelebihan. Saya dapat kaitkan dan hubungjalinkan "mereka" bertiga di kotak minda saya yang satu.

Kakak : Allahuakhbar! Hebatnya adik! Dakwah kita ini dakwah hati. Untuk berdakwah, sememangnya kita harus memenangi hati manusia, selagi mana ia tidak berkompromi dengan prinsip Islam yang kita imani. Kalau kita gunakan medium-medium Barat mahu pun men'ciplak' teknologi Yahudi untuk memperluaskan agenda islamisasi, itu adalah satu kemestian.

Sungguh, tidak ada dakwah tanpa kasih sayang. Kalau kita tidak dapat mengasihi manusia itu, kita tidak akan mampu men'dakwah'nya membawanya kepada Allah. Hinggakan, kerana kasih sayang ini, kita tidak akan fikir dua kali pun untuk mengorbankan wang, tenaga dan masa kita demi membawanya kepada Allah Taala. Apa sahaja. Mintalah masa ini untuk ummah.

Dakwah itu satu kewajipan bagi setiap insan muslim yang mengaku bersaksi dengan kalimah suci 'Laailahaillallah Muhammadurrasulullah'.

"Kenapa kita perlu berdakwah? Bukankah kita ini khalifah Allah? Manusia ini tidak sempurna, ada sahaja kesilapan yang sengaja dibuat ataupun tidak sengaja. Namun, itu bukanlah alasan untuk tidak terus berdakwah. Manusia bebas menggunakan apa sahaja wasilah yang ada, selagi ia tidak bercanggah dengan syarak."

Dakwah : Antara amanah dan hobi? Apa pilihan anda?

"Sesungguhnya bai'ah (sumpah setia) dalam perjuangan bukan sekadar pada lafaz yang disaksikan. Bukan hanya tandatangan dan mengisi borang. Namun yang paling penting, bila mana kita berbai'ah, diri kita bukan lagi diri kita yang sebelumnya. Diri kita bukan lagi milik diri kita sepenuhnya, tetapi diri kita milik sepenuhnya kepada perjuangan Islam, di mana ada tuntutan Jihad, di situlah kita akan berada dan bekerja hingga ke akhir hayat kita dengan meletakkan sepenuhnya Al-Jihad Fi Sabiluna"

Sekian, setakat ini sahaja daripada admin kali ini. Semoga kita sentiasa berada di dalam rahmat dan perlindungan-Nya.

Wallahu'alam.

Bestari Berselawat

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, pada 24 Januari 2013 bersamaan 12 Rabiul'awal 1434 H yang lalu pihak Badar SAM Bestari telah menganjurkan Program Bestari Berselawat sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sekolah bertempat di Dewan Besar Uthman ibni Affan yang dibawakan oleh pelajar-pelajar SAM Bestari hasil bimbingan Ustaz Zaidi bin Masri. Di sini admin ingin mengongsikan detik-detik yang telah dirakam semasa program tersebut berlangsung. Jazakallah ila akh Muhammad Ashraf bin Masri yang bertugas sebagai perakam.

1/6

2/6

3/6


4/6

5/6

6/6

Isnin, 11 Februari 2013

HARAM GHIBAH

Bismillahirrahmanirrahim.

Ghibah atau dalam bahasa Melayunya ialah ‘mengumpat’, adalah perbuatan lidah yang agak selalu dilakukan oleh manusia samada dengan sengaja atau tanpa sengaja.  Samada lelaki atau perempuan, ia tidak terkecuali. Sedangkan perbuatan tersebut dilarang tegas oleh ALLAH Subhanahu wa Ta`ala dari melakukannya. Firman ALLAH Ta`ala:

Bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sebahagian kamu melakukan ghibah kepada sebahagian yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.  Dan bertaqwalah kamu kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH Maha Penerima taubat, lagi Maha Penyayang.”
(Surah al-Hujurat, 49:12)

Bukan sahaja perbuatan ghibah itu dilarang, bahkan dibawa suatu perumpamaan untuk manusia berfikir.  Iaitu ghibah diumpamakan seperti memakan daging manusia yang sudah mati, iaitu daging mayat orang yang kita ghibahkan atau umpatkan itu.  Mahukah kita memakannya jika ia dihidangkan di hadapan kita?  Tentu sahaja kita berasa jijik terhadapnya bukan?  Itulah perumpamaannya.

Sheikh Ibnu Uthaimin menerangkan kaitan ghibah dengan perumpamaan memakan daging orang mati dalam ayat di atas ialah kerana apabila seseorang melakukan ghibah atau mengumpat terhadap seseorang lain, orang yang diumpatkan itu tiada di hadapannya dan tidak dapat membela diri terhadap apa yang diungkapkan oleh si pengumpat.  Serupalah dengan orang yang sudah mati.  Dia tidak mampu bangkit untuk membela dirinya walaupun dagingnya dipotong dan dimakan oleh seseorang.

Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam ada menyebut apakah itu ghibah, iaitu ia merupakan suatu perbuatan lidah yang menceritakan tentang hal orang lain sedangkan hal itu tidak disukai oleh orang tersebut.

Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu sesungguhnya Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam pernah bersabda:

أَتَدْرُونَ مَا الْغِيبَةُ ؟ قَالُوا : اللهُ ورسولُهُ أعْلَمُ قَالَ : ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ قِيْلَ : أَفَرَأَيْتَ إِنْ كَانَ فِي أَخِي مَا أَقُولُ ؟ ْقَالَ : إِنْ كَانَ فِيهِ مَا تَقُولُ ، فَقَدِ اغْتَبْتَهُ . وَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِيهِ ، فَقَد بَهَتَّهُ 

Bermaksud:
“Tahukah kamu apakah itu ghibah?”

Para sahabat berkata:  “ALLAH dan RasulNYA lebih mengetahui.”

Baginda pun bersabda:  “Iaitu kamu menceritakan keadaan saudaramu sesuatu yang tidak disenanginya.”

Ada sahabat bertanya:  “Bagaimana seandainya saya menceritakan apa yang sebenarnya terjadi pada saudara saya itu?”

Baginda bersabda:  “Jika kamu menceritakan sesuatu yang sebenar, maka sesungguhnya kamu telah meghibahnya (mengumpatnya).  Dan jika kamu menceritakan sesuatu yang bukan sebenar, maka sesungguhnya kamu telah menuduhnya.”
(HR Muslim)

Justeru, hendaklah kita berhati-hati dengan lidah kita jangan sampai melakukan ghibah kerana ia suatu dosa yang besar di sisi ALLAH Jalla wa A`la.





Wallahua'lam.

 

Copyright @ 2014 BADAR SAM Bestari.