Isnin, 24 November 2014

Kunjungan Habib Omar bin Hafidz ke Malaysia 2014

Ayuh beramai-ramai kita imarahkan cuti kita dengan menghadiri majlis-majlis Habib Omar bin Hafidz, rektor Darul Musthofa, Tarim, Yaman, yang akan berkunjung ke Malaysia.

Berikut adalah poster-poster yang berkaitan.










Juga terdapat majlis-majlis khusus buat Muslimat bersama dengan isteri beliau.



Sama-sama kita merebut peluang keemasan ini. Ayuh!

Sabtu, 15 November 2014

Cuti Sekolah, Tidak Bermakna Cuti Tarbiyah

Menjadi satu adat kebiasaan buat para pelajar di Malaysia, apabila mendekati hari-hari terakhir sekolah sekaligus merapati hari-hari bercuti sakan untuk merancang pelbagai aktiviti dengan rakan-rakan dengan kencangnya. Ahha.

Ada juga yang ikut sahaja pelan keluarga mereka, baik dalam negara atau di seberang laut sana. Ada yang sertai kem-kem motivasi atau bengkel-bengkel yang berkaitan dengan pelajaran dan juga kelas tusyen bagi menampung pelajaran yang ketinggalan di sekolah, kurang faham ataupun sebagai persediaan buat tahun akan datang.

Tidak lupa juga, para guru yang sentiasa melimpahkan rasa kasih sayang kepada anak murid mereka dengan memberi kerja sekolah dan tugasan agar mereka tak alpa dan lalai bercuti sahaja sehinggakan apa yang dipelajari selama berbulan akan hilang begitu sahaja.

Namun, sebaik sahaja keluar loceng terakhir berdering dan tapak kaki mula deras bergerak pulang, keberadaan mereka dalam ruang tarbiyah pun makin hilang. Iyalah, di mana lagi kita merasakan suasana, atau "bi'ah", yang baik melainkan di tempat pendidikan kita, khususnya lagi di sekolah agama.

Di sekolah yang mereka tinggalkan itulah adanya orang yang sentiasa menjaga dan mengingatkan tentang solat, yang mengajak ke arah kebaikan dan khairat, yang mencegah dari salah laku dan maksiat, yang mendidik dalam sibuk dan rehat, yang mengadakan program sehingga lelah penat. Kesemuanya adalah bagi mentarbiyah dan mendisiplinkan diri dengan amal ibadah, agar makin lama makin dekat dengan Allah.

Ketika di rumah, barangkali suasananya berbeza bagi kebanyakan orang. Ada juga yang keluarga mereka lebih ketat bahkan syadid dalam agama, ada juga yang longgar dan kurang menekankan aspek tarbiyah. Tidak berniat untuk memuliakan sesetengah dan menghina sesetengah yang lain, namun sekadar menyatakan realiti dan hakikat masyarakat majmuk kita ini.

Kalau di sekolah kita bergegas untuk solat di awal waktu, di rumah jangan pula bergegas untuk kembali ke hamparan yang empuk dan gajet yang melalaikan. Kalau di sekolah kita dapat agihkan masa untuk ibadah, wirid seharian dan pelajaran, di rumah jangan pula kita mengisi masa dengan bermain game sahaja,

Kerana tarbiyah ini, semuanya bermula dari diri sendiri.

Sebuah kereta tidak akan mampu bergerak melainkan pemandunya tekan pedal minyaknya.

Gangguan-gangguan yang mendatang seperti aktiviti alam maya, gajet bersama perisian-perisiannya, konsol-konsol game serta CD yang datang dengannya bahkan rakan yang mengajak berseronok di siang hingga ke malam buta, perlu diatasi dengan hikmah dan bijaksana. Andai gagal, maka semua yang disebutkan tadi akan menjadi batu-batu penghalang dan pemberat yang besar dalam perjalanan tarbiyah kita. Andai berjaya, semua tadi mungkin akan menjadi pendorong bahkan pembantu untuk mencapai matlamat kita.

Rancanglah cuti anda dengan sebaiknya.

Alternatif mungkin,

-Setiap kali kita hendak main game atau melayari internet, letak syarat paling kurang baca satu muka surat Al Quran sebelum memulakannya.
-Andai khuatir terjebak dengan maksiat yang berpunca dari gajet, elakkan bersendirian dalam bilik dan cuba duduk di tempat yang ramai orang. Letak komputer atau laptop di ruang tamu ataupun dapur rumah, cadangan semata-mata.
-Apabila outing bersama rakan-rakan, pastikan solat fardhu diberi prioriti (keutamaan) utama atas perkara-perkara lain. Kalau mampu, selitkan masa untuk solat sunat ataupun tadarus bersama-sama. Tak suruh pun buat 'street dakwah' pun.
-Latih diri sendiri agar tamatkan hari dengan tidur awal dan mulakan hari esoknya dengan qiyamullail. Tak perlu drastik terus, cuba seminggu sekali, kemudia dua kali, kalau boleh setiap hari. Kalau bolehlah.
-Kurangkan berhubung dengan ajnabi baik secara 'musyafahah' (face to face) ataupun merentasi internet dengan perisian WhatsApp, Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya. Melainkan perlu.  Soalannya, perlukah?
-Ajak orang-orang yang terdekat untuk buat kebaikan bersama-sama. Nak masuk syurga seorang diri? Silakan. Cuba dengan adik-beradik dulu, kalau dapat, anda seorang yang berani dan hebat. Tak mampu, shake dekat WeChat dan dakwahlah sesiapa sahaja yang dipasangkan dengan kita itu. Ada beran?
-Sentiasa berusaha untuk berbuat baik kepada ibu bapa, dan sahut seruan mereka andai dipanggil. Banyak kisah dan dalil yang mengajar kita perkara ini dari kecil lagi, usah disebut di sini.

Dan lain-lain.

Sekadar itu sahaja omelan dari al faqir pada malam ini. Sekadar meregangkan otot tangan sahaja. Maaf deh andai terasa.

Sekian.

15112014
0115

 

Copyright @ 2014 BADAR SAM Bestari.