Ahad, 14 Disember 2014

Fokus ke laut? Astaga


Bagi mana-mana penembak baiklah pemanah ataupun pemegang senjata api, perkara yang paling penting ialah fokus pada 'line of sight' atau 'iron sights' dia agar tembakan kena pada sasaran.


Andaikata penembak tersebut leka atau lalai lalu melepaskan serangannya ke arah sasaran, boleh jadi dan besar kemungkinan dia akan melalut dan tak mengena. Dalam situasi seperti perang atau pertandingan, perkara ini lagilah buruk padahnya.

Itu fokus seorang penembak, maka bagaimana pula fokus dalam solat kita? Atau bahasa lebih maklum, khusyuk.


Dalam solat kita, lagilah melalut fikiran kita. Adakalanya benda-benda yang tak pernah terfikir pun terlintas dalam minda.

Pernah tersebut satu kisah, seorang lelaki kehilangan satu barang. Dia cari-cari barangnya namun tak jumpa juga. Dia mengadu pada salah seorang hambanya, yang lantas suruh dia tunaikan solat. Pada masa solat itulah dia teringat mana barang dia. Baik sahaja selesai solat dia terus maklumkan kepada hambanya tadi. 

Terus hambanya cakap,

Tadi tuan cari Allah ke cari barang dalam solat?

Lelaki tadi terus tersentap dan merdekakan hamba dia selepas itu.

Kisah ini banyak kena pada kita semua yang masing-masing sendiri ada pengalaman yang lain-lain.

Masa solatlah kita teringat tentang kerja, kerja sekolah, tugasan, makanan, facebook, twitter dan paling teruk, teringat ajnabi. Dan jarang sekali kita ambil inisiatif nak baiki keadaan kita, melainkan baru insaf dari satu-satu peristiwalah.

Imam Al Ghazzali RAH ada tegur kita dengan kata-kata dan tamsilan yang sangat mudah.

..hadirkan dirimu, kosongkan jiwamu daripada sebarang waswas dan hendaklah engkau fikirkan bahawa engkau sedang berdiri di hadapan Tuhanmu dan engkau bermunajat denganNya, maka hendaklah engkau malu sekiranya engkau bermunajat kepadaNya dengan hati yang lalai dan dengan dada yang penuh serabut dengan waswas dunia, bisikan syahwat dan hawa nafsu. Ketahuilah, bahawa Allah taala mengetahui segala rahsiamu dan melihat ke dalam hatimu dan Dia hanya menerima solat yang khusyuk dan penuh rendah diri. Sembahlah Tuhanmu seakan-akan kau melihatnya dan jikalau kau belum mampu berbuat demekian maka tanamkanlah di dalam hatimu bahawa sebenarnya Tuhanmu melihat segala perbuatanmu.
Apabila hatimu masih tidak mahu hadir dan anggotamu tidak tenang maka ini adalah berpunca daripada kurangnya makrifatmu terhadap kebesaran dan keagungan Tuhanmu.
Cuba engkau bayangkan jika ada orang yang soleh dari keluargamu yang sedang memerhatikan dan meneliti solatmu. Pasti ketika itu kau akan dapati hatimu jadi khusyuk kepadanya dan segala anggotamu jadi tenang di hadapannya. Oleh itu, kembali kau nasihati dirimu dan katakan padanya: "Wahai diriku, tidakkah kau rasa malu kepada Allah Tuhanmu yang telah ciptakanmu, betapa kau boleh malu di hadapan manusia yang lemah dan dia adalah salah satu daripada hamba Tuhanmu. Apabila manusia itu teliti solatmu, kau boleh khusyuk dan anggotamu jadi tenang, solatmu jadi elok di hadapannya, sedangkan dia tak memiliki apa-apa dan tidak dapat bagi sebarang mudharat atau manfaat kepadamu. Betapa kau tidak malu kepada Allah Tuhanmu yang tahu segala rahsiamu dan betapa kau tidak rasa takut kepada kebesarannya, apakah Allah taala itu lebih hina pada pandanganmu dari salah seorang hambaNya? Alangkah besarnya kezalimanmu, alangkah bersangatan jahilmu, alangkah besarnya permusuhanmu terhadap diri sendiri."
Rawatlah hatimu dengan cara-cara seperti ini, barangkali pada suatu masa nanti nanti ia akan khusuk juga... 

Moga-moga teguran beliau beri kesan kepada kita semua, insya Allah.

Rujukan: Bab Adab-adab Mengerjakan Sembahyang, Bidayatul Hidayah (Edisi Jawi), Al Imam Hujjatul Islam Abu Hamid Al Ghazzali, Khazanah Banjariyah.

Unknown

Biro Multimedia BADAR SAM Bestari

0 comments:

Catat Ulasan

 

Copyright @ 2014 BADAR SAM Bestari.