Isnin, 11 Februari 2013

HARAM GHIBAH

Bismillahirrahmanirrahim.

Ghibah atau dalam bahasa Melayunya ialah ‘mengumpat’, adalah perbuatan lidah yang agak selalu dilakukan oleh manusia samada dengan sengaja atau tanpa sengaja.  Samada lelaki atau perempuan, ia tidak terkecuali. Sedangkan perbuatan tersebut dilarang tegas oleh ALLAH Subhanahu wa Ta`ala dari melakukannya. Firman ALLAH Ta`ala:

Bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sebahagian kamu melakukan ghibah kepada sebahagian yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.  Dan bertaqwalah kamu kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH Maha Penerima taubat, lagi Maha Penyayang.”
(Surah al-Hujurat, 49:12)

Bukan sahaja perbuatan ghibah itu dilarang, bahkan dibawa suatu perumpamaan untuk manusia berfikir.  Iaitu ghibah diumpamakan seperti memakan daging manusia yang sudah mati, iaitu daging mayat orang yang kita ghibahkan atau umpatkan itu.  Mahukah kita memakannya jika ia dihidangkan di hadapan kita?  Tentu sahaja kita berasa jijik terhadapnya bukan?  Itulah perumpamaannya.

Sheikh Ibnu Uthaimin menerangkan kaitan ghibah dengan perumpamaan memakan daging orang mati dalam ayat di atas ialah kerana apabila seseorang melakukan ghibah atau mengumpat terhadap seseorang lain, orang yang diumpatkan itu tiada di hadapannya dan tidak dapat membela diri terhadap apa yang diungkapkan oleh si pengumpat.  Serupalah dengan orang yang sudah mati.  Dia tidak mampu bangkit untuk membela dirinya walaupun dagingnya dipotong dan dimakan oleh seseorang.

Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam ada menyebut apakah itu ghibah, iaitu ia merupakan suatu perbuatan lidah yang menceritakan tentang hal orang lain sedangkan hal itu tidak disukai oleh orang tersebut.

Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu sesungguhnya Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam pernah bersabda:

أَتَدْرُونَ مَا الْغِيبَةُ ؟ قَالُوا : اللهُ ورسولُهُ أعْلَمُ قَالَ : ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ قِيْلَ : أَفَرَأَيْتَ إِنْ كَانَ فِي أَخِي مَا أَقُولُ ؟ ْقَالَ : إِنْ كَانَ فِيهِ مَا تَقُولُ ، فَقَدِ اغْتَبْتَهُ . وَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِيهِ ، فَقَد بَهَتَّهُ 

Bermaksud:
“Tahukah kamu apakah itu ghibah?”

Para sahabat berkata:  “ALLAH dan RasulNYA lebih mengetahui.”

Baginda pun bersabda:  “Iaitu kamu menceritakan keadaan saudaramu sesuatu yang tidak disenanginya.”

Ada sahabat bertanya:  “Bagaimana seandainya saya menceritakan apa yang sebenarnya terjadi pada saudara saya itu?”

Baginda bersabda:  “Jika kamu menceritakan sesuatu yang sebenar, maka sesungguhnya kamu telah meghibahnya (mengumpatnya).  Dan jika kamu menceritakan sesuatu yang bukan sebenar, maka sesungguhnya kamu telah menuduhnya.”
(HR Muslim)

Justeru, hendaklah kita berhati-hati dengan lidah kita jangan sampai melakukan ghibah kerana ia suatu dosa yang besar di sisi ALLAH Jalla wa A`la.





Wallahua'lam.

Unknown

Biro Multimedia BADAR SAM Bestari

0 comments:

Catat Ulasan

 

Copyright @ 2014 BADAR SAM Bestari.