Isnin, 2 Mei 2016

YANG DIKATAKAN SYABAB ITU..




















Yang bernama syabab itu,
Hatinya harus kuat memangkah,
Kakinya harus tegar melangkah,
Dan..
Akhlaknya yang bisa menggugah

Yang dikatakan syabab itu,
Imannya turun terkadang naik,
Terkadang juga kalah,
Kalah dengan fatamorgana dunia,
Namun kerana hamasahnya,
Penuh mengepung dada,
Tidak sesekali dibiar jatuh,
Ke lembah hina lagi kotor,
Jatuh ke gelanggang futur

Engkaulah Syabab!
Keringatmu dituntut umat,
menggenggam amanah yang berat,
membawa harapan buat sang hamba,
menyirna segala luka derita.

Bangkitlah wahai Syabab!
Dunia menantimu akhirat memanggilmu,
Neraka mengusirmu sedang syurga menunggumu,
Umat memerlukanmu,
Alam juga mengingatimu...


Nukilan,
Nor Athirah Shahidah


Selasa, 15 Mac 2016

Image result for UMMAH

Cuba kau fikir mengapa
zina semakin berleluasa
ibu ayah menjadi hamba
manusia menjadi gila
akan harta dan dunia

Pasti ada yang tertanya
Ke manakah kita
saat umat diperlukan
di manakah kita 
saat umat menjadi tenat

Ini bukannya masa
bermain-main bersuka ria
goyang kaki membazir masa

Sekiranya inilah kita
dan kita terus begini
Bilakah masanya Islam kan menang?

Usah beri seribu alasan
Ingatlah pada janji Tuhan
Yang tidak akan berlaku penipuan
Janji Tuhan suatu kebenaran

Jika benar kau gelar diri kau pejuang
Bangkitlah. Angkat pedang


KINI TIBA MASA UNTUK BANGKIT,
 Aliya Syahira




Selasa, 23 Disember 2014

Kau betul ke cinta?


Maklum kepada kita semua, bulan yang sangat dinantikan kehadirannya, yang padanya kemuliaan yang banyak sangat dan tak terhingga. Mana mungkin, jikalau bukan kerana lahirnya Kekasih Allah Rasulullah Nabiyullah Sofiyullah Muhammad SAW.



"Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam." (Surah Al Anbiya': 107)

Ulama tafsir sebut maksud  العالمين (sekalian alam) itu ialah semua benda selain dari Allah taala.

Maka nikmat apa yang lagi besar, lagi berharga, lagi bernilai, lagi agung dari kelahiran Rahmat Sekalian Alam SAW?

Dengan kelahiran baginda SAW, sudah ternyata kemuliaan dan kurniaan yang agung. Apatah lagi selepas pengutusannya dan penurunan wahyu, maka bagindalah SAW yang telah sebarkan hidayah Allah taala kepada kita, yang telah selamatkan kita dari murkaNya, yang telah jauhkan kita dari seksa api nerakaNya, yang telah bawa kita ke arah kegembiraan abadi dan kehidupan yang murni.

Kurniaan apa yang lagi besar daripada itu?

Maka hendaklah kita menzahirkan kesyukuran kita kepada Allah SWT dengan berasa bangga dan gembira dengan kelahiran Nabi SAW.

Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya. (Surah Adh Dhuha: 11)

Ada daripada kita yang sentiasa menanti hari jadi kekasihnya, lalu belikan apa-apa saja yang mungkin disukai kekasihnya. Maka kekasih mana yang lebih patut kita cintai, yang telah cintai kita sebelum kita cintainya atau orang yang mungkin tak tahupun akan kewujudan kita? Maka dari itu, kekasih mana yang patut kita utamakan dan berikan segala tumpuan untuk digembirakan?

"Engkau bersama dengan siapa yang kau cintai." (HR Muslim)


Maka, pada hari kiamat nanti, adakah kita mahu bersama dengan para artis yang entah kenal kita atau tidak, atau bersama dengan Rasulullah SAW yang telah menumpahkan darah baginda SAW kerana sayangkan kita?

Adakah kita mahu pada hari kiamat bersama dengan mereka yang katakan,
 "Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah.." (An Naba': 40)
Atau dengan dia yang telah disebutkan kepadanya,
"Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata." (Al Fath: 1) 

Terdapat pelbagai cara yang boleh kita lakukan untuk menerima kedatangan Maulidur Rasul, antara perbanyakkan selawat dan membaca sirah Nabi SAW. Ada antara para ulama yang telah himpunkan dalam buku-buku yang dinamakan buku maulid. Hiraukan mereka yang tidak faham, yang menyempitkan jalan ke arah Tuhan, yang 'membidaahdholalahkan' perkara hasanah, padahal ada dalil dan hujah yang mengharuskannya.

Kalau para artis dibenarkan untuk buat lagu dan puisi cinta tentang kekasihnya baik laki atau perempuan, kenapa pula dihalang dari membuat syair-syair mahabbah tentang Rasulullah SAW? Sedangkan cinta Rasulullah SAW itu lebih agung dan lebih suci.

Maka raihlah peluang yang ada ini, kerana barangkali mungkin tiada lagi masa depan buat kita nanti. Perbanyakkan menyebut riwayat hidup Nabi SAW dan para sahabat, berbanding mengisahkan tentang artis-artis, orang kafir, atau kisah palsu kepada anak-anak. Terapkanlah cinta yang suci murni ini dalam jiwa kita dan ahli keluarga kita.

Hiraukan mereka yang tak faham, yang kata jangan lebihkan cinta Nabi atas cinta Tuhan.
Kerana cinta Tuhan itu dapat direalisasikan dengan cinta Nabi, dan cinta Nabi itu tiada dapat tiada dapat membawa kita kepada cinta Tuhan.

Sesungguhnya Allah taala telah berfirman,
"Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman." (At-Taubah: 128)
Kita selalu tersinggung bingung cinta kita bertepuk sebelah tangan, kenapa pula kita tak balas cinta baginda SAW?

Ayuh, sama-sama kita muhasabah diri.

SELAMAT MENYAMBUT BULAN RABIUL AWAL!
SELAMAT MENYAMBUT MAULIDUR RASUL!



 

Copyright @ 2014 BADAR SAM Bestari.